Print

MARA – Oil & Gas Industry Engagement Dinner 2014

Aktiviti     : MARA – Oil & Gas Industry Engagement Dinner 2014

Tarikh       : 29 April 2014

Lokasi       : ParkCity Everly Hotel, Bintulu, Sarawak

Anjuran    : Institut Kemahiran MARA Bintulu & Bahagian Kemahiran & Teknikal MARA

Pengenalan

MARA melalui Bahagian Kemahiran Dan Teknikal (BKT) telah mula meneroka industri minyak dan gas (Oil & Gas) dengan mewujudkan KKTM Kemaman dan IKM Bintulu yang menjalankan program di peringkat diploma dan sijil yang menjurus kepada bidang minyak dan gas dalam usaha membangunkan modal insan yang berkemahiran tinggi, kompeten serta berdaya saing. 

Program engagement seperti ini dilihat berupaya mencetus pelbagai aktiviti atau program kerjasama strategik di antara MARA dan pihak industri yang mampu memberi impak secara langsung kepada pelajar-pelajar, terutamanya di dalam bidang minyak dan gas. Oleh itu, BKT dan Institut Kemahiran MARA Bintulu telah mengambil satu langkah progresif dengan mengadakan Majlis Makan Malam Bersama Industri “MARA-Oil & Gas Industry Engagement Dinner” ini.

IKM Bintulu dilihat mampu menjadi hub utama melahirkan tenaga pakar di dalam bidang minyak dan gas ini berikutan kedudukan institusi yang strategik yang dikelililngi oleh pemain-pemain utama industri minyak dan gas serta industri-industri berat di Bintulu, Sarawak.

Objektif

  • memberi peluang untuk MARA bertemu dengan pihak industri minyak dan gas yang terkemuka di Malaysia dalam majlis tidak formal sekaligus memupuk semangat bekerjasama yang lebih erat;
  • sebagai platform bagi MARA dalam menerangkan kepada pihak industri tentang program-program perdana serta kursus-kursus jangka pendek yang ditawarkan di KKTM dan IKM yang menawarkan kursus di dalam bidang minyak dan gas;
  • menyampaikan penghargaan kepada pihak industri yang telah bekerjasama dengan KKTM dan IKM termasuk syarikat-syarikat yang sedang mengambil para pelajar bagi menyempurnakan Latihan Industri;
  • meningkatkan kebolehpasaran para pelajar di kalangan pihak industri serta menambah keyakinan pihak industri terhadap jenama IPMa secara amnya dan KKTM/IKM secara khususnya;
  • mendedahkan kepada pihak industri tentang kemudahan serta peralatan yang terdapat di dalam kampus KKTM dan IKM bagi menerokai peluang-peluang kerjasama pada masa depan.

Ulasan

Tidak kurang daripada 36 buah syarikat-syarikat berkaitan Minyak & Gas serta industri-industri berat yang lain telah menghantar pegawai-pegawai tertinggi mereka ataupun wakil untuk sama-sama memeriahkan majlis ini. Ketua-ketua jabatan agensi kerajaan sekitar Bintulu juga turut sama untuk memberikan sokongan mereka. Pegawai-pegawai pengurusan tertinggi MARA turut dijemput untuk sama-sama hadir untuk melihat sendiri potensi untuk pembangunan di sekitar Bintulu melalui pertemuan dengan pihak industri.

Pihak MARA menggunakan kesempatan ini untuk menerangkan kepada pihak industri yang hadir tentang program-program yang boleh didapati di bawah sistem pengajian Bahagian Kemahiran & Teknikal MARA, terutamanya IKM Bintulu. MARA juga menjemput pihak industri untuk turut serta dalam pembangunan kemahiran terutamanya bersama IKM Bintulu dengan tujuan, tidak lain dan tidak bukan, memantapkan kebolehan tenaga kerja dan kebolehpasaran lepasan-lepasan pelatih teknikal dan kemahiran MARA.

Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah (Kanan) Pelaburan MARA, En Abdul Rashid bin Mohd Said. Beliau menegaskan juga kepentingan kerjasama dengan pihak industri terutamanya untuk mendapatkan kebolehan bidang Minyak dan Gas di dalam negara ini. En Abdul Rashid juga berharap pihak industri untuk memberikan sokongan kepada MARA, amnya dan IKM Bintulu, khasnya dalam pembentukan modal insan yang kompeten dan global.

Disediakan oleh:
Mohammad John Kenniel Abdullah
Pegawai Perhubungan Industri
IKM Bintulu, Sarawak