Print

Program Pengajian Peringkat Sarjana Kejuruteraan Mekanikal (Kejuruteraan Tenaga) di IKM Bintulu

Tajuk Aktiviti                             : Program Pengajian Peringkat Sarjana Kejuruteraan Mekanikal (Kejuruteraan Tenaga) di IKM Bintulu

Tarikh & Lokasi                         : 22 Februari 2014 & Bilik Raflesia IKM Bintulu

Nama Penganjur                       : Pembangunan Modal Insan

Tarikh Laporan Disediakan       : 21 April 2014


Latar belakang

Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekanikal (Kejuruteraan Tenaga) telah ditawarkan secara kerja kursus sepenuh masa dan separuh masa di Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan secara pesisir bermula Februari 2014.

Bermula pada Februari 2014 pengajian secara kerja kursus separuh masa  dilaksanakan pada hujung minggu di IKM Bintulu secara pesisir.

 Objektif

  • Program yang dicadangkan ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan tenaga pengajar Institut Kemahiran MARA Bintulu yang berkelayakan ke tahap yang lebih tinggi iaitu peringkat sarjana. Dengan ini diharapkan keupayaan dan kecekapan dalam mengendalikan kursus-kursus yang dilaksanakan oleh MARA dapat dipertingkatkan lagi.
  • Menyediakan barisan sumber manusia yang kompetitif bagi memenuhi kehendak dan keperluan program latihan kemahiran sedia ada.
  • Ilmu pengetahuan yang diperolehi oleh tenaga pengajar ini boleh membantu MARA membangun dan mengubahsuai latihan kemahiran selaras dengan keperluan industri semasa. Cara ini mampu mengangkat martabat institusi-institusi latihan kemahiran MARA setaraf dengan institusi latihan di dalam dan di luar Negara.

 Justifikasi

  • Perlaksanaan program ini dapat meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan pengajar di dalam bidang Minyak dan Gas serta memberi pendedahan kepada tenaga pengajar mengenai perkembangan pesat teknologi bagi mengarusperdanakan bidang Latihan Kemahiran dan Teknikal khususnya.
  • Program ini dapat membantu pengajar-pengajar agar sentiasa meningkatkan ilmu dengan perkembangan terkini sementara pengajar baru dapat menimba ilmu dan pengalaman untuk menjadi pengajar yang lebih kompeten.
  • Program ini diharapkan dapat memberi kesan sinergi kearah pembentukan golongan Tenaga Pengajar Teknikal Pakar dalam bidang Minyak dan Gas untuk mendokong hasrat kerajaan bagi melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi kerana bidang ini bertepatan dengan kedudukan geografi yang terletak dalam lingkungan Minyak dan Gas antarabangsa dan kawasan pembangunan ekonomi Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE).
  • Dengan terlaksananya program ini nanti ianya dapat memacu hasrat MARA dalam menjadikan IKM Bintulu sebagai pusat latihan kemahiran yang unggul dalam bidang teknologi minyak dan gas yang seterusnya  membantu hasrat kerajaan dalam menjadikan industri minyak dan gas ini sebagai fokus utama pembangunan negara sebagaimana yang telah dimaktubkan sebagai salah satu Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) projek Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Kumpulan Sasaran

Seramai 11 orang tenaga pengajar teknikal IKM Bintulu telah ditawarkan bagi mengikuti program pengajian ini. Program pengajian ini turut  dibuka kepada orang luar yang berminat.

Perlaksanaan Kursus

Program pengajian ini  dilaksanakan secara separuh masa iaitu pada hujung minggu dengan menggunakan kurikulum dan silibus program Sarjana Kejuruteraan Mekanikal (Kejuruteraan Tenaga)  yang ditawarkan secara kerja kursus sepenuh masa dan separuh masa di Kampus UTeM Melaka. Keseluruhan program pengajian  mengambil masa selama 2 tahun atau 4 semester bermula Februari 2014 hingga Februari 2016. Kuliah  dikendalikan di Institut Kemahiran MARA Bintulu, Sarawak secara separuh masa. Pihak IKM menyediakan ruang kuliah, tutorial dan bilik komputer serta kemudahan yang berkaitan dan bersesuaian untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Pihak Institusi juga  membenarkan peserta menggunakan peralatan dan kemudahan IKM untuk melaksanakan projek sarjana termasuk menyediakan bahan mentah dan guna habis jika berkaitan. Pensyarah mata pelajaran dan penyelia projek  disediakan oleh Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UTem yang berjawatan sekurang-kurangnya Profesor Madya atau berkelulusan PhD. Walaubagaimanapun staf yang bukan bertaraf Graduan Fakulti tetapi mempunyai kemahiran dan pengalaman yang sesuai boleh dilantik sebagai pembantu pensyarah mata pelajaran atau penyelia projek yang bertaraf Graduan Fakulti yang dilantik.

Huraian Penilaian

Para pelajar telah diberi tugasan – tugasan mengikut kursus yang dipelajari seperti ujian, presentation, tugasan individu dan tugasan berkumpulan yang dinilai dan diberi markah. Tugasan – tugasan ini dibuat dan dihantar pada minggu pembelajaran atau minggu pembelajaran seterusnya samada secara hardcopy atau email kepada pensyarah yang mengajar. Pensyarah – pensyarah yang mengajar mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dalam kursus yang diajar dan membantu pelajar jika mempunyai masalah dalam pembelajaran.

Pencapaian Aktiviti

Program ini telah bermula iaitu minggu pembelajaran ke-10, tinggal dua minggu lagi sesi pembelajaran untuk semester 1. Pada minggu ke-17 peperiksaan akhir bakal diadakan.

Kemajuan/Masalah

  • Tenaga pengajar IKM Bintulu dapat menyesuaikan diri daripada permulaan kelas pada minggu pertama walaupun dengan tanggungjawab sebagai pengajar pada hari bekerja.
  • Walaupun terdapat gangguan semasa sesi pembelajaran dengan aktiviti – aktiviti yang dijalankan oleh IKM Bintulu namun tidak membebani tanggungjawab sebagai seorang pelajar.

Cadangan

  • Cadangan supaya tenaga pengajar IKM Bintulu yang terlibat dalam program sarjana tidak melibatkan diri dengan aktiviti - aktiviti yang diadakan oleh IKM Bintulu pada minggu pembelajaran.
  • Cadangan agar diberi cuti tanpa rekod 1 hari.

Penutup

Disini saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program pengajian peringkat sarjana ini.

Disediakan oleh:
Aisyah Gwynnie Chembat Akin
Pensyarah, IKM Bintulu, Sarawak