Galeri Berita Semasa

Print

Lawatan Industri Ke Stesen Janakuasa Elektrik Bakun

STESEN JANAKUASA ELEKTRIK BAKUN, SARAWAK 15 Februari 2017 - Lawatan Industri Ke Stesen Janakuasa Elektrik Bakun disertai oleh 40 orang pelajar IKM Bintulu semester akhir  Program Sijil Teknologi Kejuruteraan Fabrikasi Perpaipan dan Program Sijil Teknologi Kejuruteraan Fabrikasi Struktur serta pegawai pengiring iaitu Darence Senawat, Asrul bin Abd Rahman, Suzilapatini bt Kassim, Muhammad Jamil bin Mashdar.

Kami bertolak pada pukul 7.15 pagi. Perjalanan ke sana mengambil masa kira-kira 3 jam. Setibanya di sana kami diiringi masuk oleh polis bantuan ke Club House di mana taklimat akan diadakan. Di Club House, kami disambut oleh pegawai-pegawai dari Sarawak Hidro Sdn Bhd dan setelah makan tengah hari, taklimat diberikan oleh Encik Kelvin yang merupakan Jurutera Mekanikal di sana. Club House ini sebenarnya merupakan pusat rekreasi untuk staff-staff Sarawak Hidro di mana ia menempatkan kolam renang dan juga gimnasium.

Taklimat ini menjurus kepada pengenalan kepada Empangan Bakun dan juga penerangan mengenai spesifikasi teknikal Empangan Bakun. Selepas taklimat, kami kemudian di bawa untuk melawat tapak di mana tempat pertama yang kami lawati ialah kawasan Power Intake. Di sini, kami dapat melawat kawasan tadahan air yang sangat besar di mana keluasan tasik ini  adalah sebesar saiz negara Singapura. Bahagian Power Intake merupakan bahagian di mana air dari tasik akan masuk ke dalam terowong air yang menghala ke turbin.

Seterusnya kami diiringi ke Power House. Di sinilah terletaknya Generator dan Turbine yang menjana tenaga elektrik. Pusat kawalan utama juga terletak di dalam Power House ini. Sebelum pulang , kami sempat mengambil gambar kenangan di sini bersama dengan pegawai dari Sarawak Hidro.

Tujuan lawatan ini dijalankan adalah untuk:-

Memberi pendedahan kepada pelajar semester akhir Sijil Teknologi Fabrikasi Perpaipan dan Sijil Teknologi Fabrikasi Struktur mengenai rekabentuk perpaipan dan struktur.

Memberi pendedahan suasana industri kepada pelajar sebelum mereka bekerja di industri.

Kesimpulannya, para pelajar dan pensyarah mendapat pengalaman dan ilmu pengetahuan yang berharga setelah menyertai lawatan ini. Diharap, lawatan industri seumpama ini dapat terus diadakan di masa-masa yang akan datang.

disediakan oleh: En Darence Senawat Matius, Pegawai Latihan Vokasional IKM Bintulu Sarawak