Print

Utusan Pengarah

Assalamu’alaikum dan Salam Sejahtera.  

Syukur Alhamdulillah kepada Allah, Tuhan sekelian alam kerana dengan taufiq dan inayahNya jua saya dapat bersua di alam maya ini, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W, Rasul yang diutuskan sebagai perantara untuk memberi rahmat kepada seluruh alam.

Saya mengucapkan selamat datang dan amat berbesar hati untuk mengalu-alukan anda semua ke laman sesawang rasmi  Institut Kemahiran MARA Bintulu, Sarawak. Laman sesawang ini dibangunkan sebagai salah satu sumber maklumat kepada setiap pengunjung laman ini samada warga kerja, pelajar,  ibu bapa dan juga orang awam. Selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan mutu sistem penyampaian terutamanya dengan pelbagai kemudahan media digital tanpa sempadan, laman sesawang dibangunkan dengan menyediakan pelbagai sumber maklumat mengenai informasi pengurusan institusi kami, program yang ditawarkan, cara pembelajaran, kemudahan, perkhidmatan kami dan pelbagai aktiviti semasa.

Selaras dengan era golabalisasi dan dalam memenuhi keperluan industri negara yang memerlukan tenaga mahir dan separa mahir yang ramai, maka institusi teknikal dan vokasional (TVET) telah melalui era  transformasikan dari segi penyampaiannya bagi mempertingkatkan tarikan kepada para pelajar lepasan SPM sebagai laluan pendidikan pilihan utama bagi menyambung pelajaran ke peringkat yang seterusnya.

Institusi TVET ini bertujuan untuk menyediakan belia dan beliawanis Malaysia memperolehi pekerjaan dalam pelbagai bidang pekerjaan perindustrian. Institusi-institusi ini adalah antara usaha kerajaan dalam mengeluarkan pekerja mahir yang diperlukan oleh industri serta menghasilkan teknologi ke arah menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Bagi Majlis Amanah Rakyat atau MARA yang bernaung dibawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah memiliki 10 buah Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan 14 buah Institut Kemahiran MARA (IKM) termasuk IKM Bintulu dengan menawarkan pelbagai bidang kemahiran seperti bidang minyak dan gas, automotif, pembuatan, elektrik dan elektronik, komputer, bangunan, perabut dan sebagainya bagi peringkat sijil dan diploma.Visi MARA bagi penubuhan institusi latihan kemahiran ini adalah untuk menjadi organisasi pendidikan amanah yang unggul dan diberkati untuk mengangkat martabat bangsa. Manakala misinya pula adalah untuk menerajui pendidikan teknikal dan vokasional dalam melahirkan modal insan global yang berintegriti, kompeten dan berinovasi serta berpotensi menjadi teknousahawan.

Institut Kemahiran MARA Bintulu adalah merupakan IKM yang kedua ditubuhkan di Sarawak, Bumi Kenyalang ini yang memberi fokus khusus dalam bidang minyak dan gas pada peringkat sijil dan diploma. Hasrat kami warga kerja IKM Bintulu agar pihak pengurusan tertinggi MARA bersetuju agar IKM ini dinaiktaraf kepada Kolej Kemahiran Tinggi MARA dengan menawarkan lebih banyak program peringkat diploma dan juga peringkat ijazah.

Sejak penubuhannya pada tahun 2011, IKM ini telah mengambil perhatian besar dalam menyediakan kemudahan dan perkhidmatan akademik dan infrastruktur kepada pelajar untuk memastikan suasana pembelajaran yang kondusif. Ia adalah misi kami untuk menghasilkan graduan yang kompeten, kreatif, inovatif, graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran tetapi juga individu bersemangat yang tinggi dan menjadi teknousahawan yang berjaya dan berpendapatan tinggi.

Akhir sekali, saya amat berbesar hati dan berharap agar maklumat yang diberikan dalam laman sesawang ini dapat membantu anda. Diharap juga agar anda boleh menghubungi kami jika terdapat sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut yang diperlukan.

Sekian, terima kasih.

DR.HJ.MOHD NAWAWI BIN OMAR
Pengarah
Institut Kemahiran MARA (IKM)
Bintulu, Sarawak