Print

UTUSAN BORNEO (06.12.2018) - MARA bantu majukan industri minyak, gas Bintulu

 
SERAH KEMUDAHAN: Mohd Najad (kanan) menyampaikan sijil penyerahan kemudahan ‘Smoke House Training Package’ kepada Dr Mohd Nawawi (kiri) sambil disaksi Zulfikri dan Dr Azmi (belakang kanan).

 

BINTULU: Fasiliti sokongan termasuk pinjaman kewangan disediakan Majlis Amanah Rakyat (MARA) membantu vendor berkembang dalam aktiviti perniagaan industri minyak dan gas serta mampu membantu menyedia tenaga kerja mahir kepada syarikat beroperasi di lokasi sumber pengeluaran minyak dan gas cecair asli terbesar dunia di Bintulu.

Timbalan Pengarah Keusahawanan MARA Datuk Zulfikri Osman berkata, MARA merupakan agensi yang menyediakan ekosistem lengkap untuk pemain industri ini terutama dalam pembangunan usahawan serta industri yang memerlukan modal insan dan perniagaan memerlukan fasiliti sokongan.

“Peringkat awal penubuhan Institut Kemahiran MARA (IKM) di Bintulu banyak mengendali dan menawarkan latihan khusus untuk menyokong dan membantu industri minyak dan gas.

“Latihan dari segi keusahawanan banyak dilaksanakan untuk membantu usahawan dalam bidang ini mengembangkan perniagaan mereka,” ujarnya pada sidang media di Majlis Perasmian Bengkel MARA dengan kerjasama pemain industri minyak dan gas serta perasmian kemudahan ‘Smoke House Training Package’ di IKM Bintulu semalam.

Turut hadir Pengarah MARA Negeri Sarawak Dr Azmi Amat Murjan, Pengarah IKM Bintulu Dr Mohd Nawawi Omar serta dua penceramah bengkel itu iaitu pegawai mewakili Petronas Diana Safizan Ibrahim, Ain Rubiah Kiprawi (Maysville Sdn Bhd), pengawai-pegawai MARA dan pengurusan IKM Bintulu.

Zulfikri berkata, MARA menyediakan pelbagai kemudahan untuk membantu meningkatkan kualiti perniagaan dalam industri itu, menyediakan geran untuk membantu syarikat-syarikat kecil mendapatkan pensijilan-pensijilan tertentu.

Katanya, untuk menyokong aktiviti Petronas, banyak perniagaan atau syarikat lebih kecil menjadi vendor kepada syarikat lebih besar terutama membabitkan pelaksanaan kontrak perniagaan yang diperolehi daripada syarikat lebih besar sekali gus menuntut MARA menyediakan pelbagai kemudahan pinjaman.

“Pinjaman yang paling banyak membantu usahawan ini ialah Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres.

“Kalau dari segi jumlah, kami merekodkan peningkatan yang amat banyak dari segi jumlah bantuan yang diberikan melalui skim pembiayaan kontrak ini kepada usahawan.

“Pada 2017 sebanyak RM18 juta dana dikeluarkan untuk membantu usahawa di Sarawak membabitkan Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres ini dan seterusnya jumlahnya meningkat RM30 juta pada 2018 untuk usahawan terlibat dalam industri ini,” tambahnya.

Pada majlis yang sama diadakan simbolik penyerahan kemudahan `Smoke House Training Package’ oleh Pengarah Global Plus Solutions Sdn Bhd Mohd Najad Ahmad yang merupakan kontraktor utama pembinaan kemudahan latihan itu kepada Dr Mohd Nawawi.

  •